Tuesday, September 22, 2009

CIRI-CIRI PELAJAR YANG HEBAT!!!!!!

Ciri-ciri Pelajar yang Cemerlang
  • Optimistik
    Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'

  • Jangan bersikap pesimistik
    Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.

  • Kesedaran memikul tanggungjawab
    Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.

  • Tumpuan sepenuh hati
    Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.

  • Mulakan dari awal
    Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.

  • Sentiasa bersedia
    Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'

  • Lengkapkan peralatan
    Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?

  • Tepati waktu belajar
    Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

  • Dapatkan bantuan guru
    Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

  • Hormati guru
    Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.

  • Bersoal jawab dengan guru
    Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.

  • Beri pandangan membina
    Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.

  • Berbncang dengan rakan
    Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

  • Siapkan tugasan yang diberi
    Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

  • Tubuhkan kumpulan studi
    Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.

  • Sering masuk perpustakaan
    Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.

  • Baca akhbar
    Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.

  • Menonton rangcangan yang sesuai
    Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita semasa.

  • Lakukan peperiksaan kendiri
    Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.

  • Sediakan jadual waktu
    Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

  • Sertai ceramah motivasi
    Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

  • Sertai seminar peperiksaan
    Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.

  • Beli buku rujukan
    Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.

  • Masuk kelas tuisyen
    Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.

  • Lawatan ke pameran buku
    Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis... (fikirlah sendiri)

  • Sertai kokurikulum sekolah
    Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan melahirkan pemikiran yang lembab.

  • Sanggup manghadapi cabaran
    Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.

  • Jaga keselamatan diri
    Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.

  • Jaga kesihatan fizikal
    Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.

  • Makanan seimbang
    Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.

  • Malu bertanya sesat jalan
    Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

  • Sembahyang
    Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.

  • Doa
    Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

  • Tawakkal
    Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

  • 5 TANDA KEBAHAGIAAN DAN KECELAKAAN...

    Tanda-tanda kebahagiaan.

    1.. Tiap bertambah ilmunya bertambah pula rendah hatinya.

    2.. Tiap bertambah amalnya bertambah pula takutnya kepada Allah.

    3.. Tiap bertambah umurnya, beransur kurang lobanya terhadap keduniaan.

    4.. Tiap bertambah harta dan kekayaannya, bertambah pula pemurahnya.

    5.. Tiap bertambah pangkat dan kedudukannya, bertambah dekatnya pada orang ramai.

    Tanda-tanda kecelakaan.

    1.. Tiap bertambah ilmunya, bertambah pula sombongnya.

    2.. Tiap bertambah amalnya, bertambah congkaknya.

    3.. Tiap bertambah umurnya, bertambah pula lobanya kepada harta.

    4.. Tiap bertambah harta dan kekayaannya, bertambah bakhilnya.

    5.. Tiap bertambah pangkat dan kedudukannya, bertambah jauhnya dari orang ramai.

    Tiap orang akan memperolehi kesenangan selama ia tidak berhasrat menyusahkan orang lain.

    Timbulkanlah lebih dahulu apa yang menjadi kesukaan orang itu, sebelum anda mengemukakan kesukaan anda.

    7 jenis wajah mayat di dalam kubur



    1. Mayat yang mukanya berpaling dari arah kiblat. Itulah petanda bahawa semasa hidupnya telah melakukan perkara syirik kepada Allah. Kawan-kawan syirik ini jangan buat main-main, dosa yang paling besar dalam Islam. Kekal dalam neraka selama-lamanya.

    2. Mayat yang mukanya berbentuk babi. Itulah petanda semasa hidupnya tidak melakukan solat lima waktu, tidak menjaga solat lima waktu. Lalai dalam solatnya. Sesungguhnya solat dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Perbuatan keji dan mungkar ini banyak, bukan hanya berduaan ditempat gelap, minum arak, berjudi sahaja. Tak tutup aurat juga perbuatan keji. Bayangkanlah sejak dari baligh lagi kawan-kawan tak pernah tutup aurat, berapa banyak dosa yang telah dikumpulkan. Siksa api neraka amat pedih oii.... Kalau kawan-kawan nak tahu bagaimana rasa 1/70 bahang (kalau tak silap) api neraka kawan-kawan cubalah cucuh hujung jari kawan-kawan dengan api, macam mana rasanya? Boleh tahan tak?

    3. Mayat yang kepala menjadi batu yang hitam legam. Itulah mayat yang semasa hidupnya derhaka kepada kedua ibu-bapa.

    4. Mayat yang perutnya buncit dan meletup. Itulah mayat yang semasa hidupnya suka makan harta yang haram. Harta yang haram banyak contohnya. Antaranya mencuri... harta yang haram. Merompak... harta haram. Melesapkan duit kawan... harta yang haram.

    5. Mayat yang kukunya mengcengkam dan meliliti seluruh tubuhnya. Itulah mayat yang semasa hidupnya suka berkelahi, mengata orang dan mengumpat orang.

    6. Mayat yang keluar mata air dari kuburnya dan air itu baunya lebih busuk dari bangkai. Itulah mayat orang yang suka makan riba'.

    7. Mayat yang wajahnya tersenyum Itulah mayat yang semasa hidupnya berilmu dan beramal soleh.

    LUAHAN HATIN SEORANG SUAMI...

    SEJENAK KE ALAM RUMAHTANGGA

    Kata pujangga
    perempuan bagaikan angin
    lembutnya melenakan
    ributnya menggusarkan.

    Adakalanya mereka seperti ibu
    menyaji kasih, menghidang sayang
    adakalanya mereka seperti anak
    ingin dibelai, minta dimanjakan
    adakalanya mereka seperti nenek
    berleter seadanya, merungut semahuannya.

    Namun,
    teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini.
    bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka.

    ( i )

    Psst....
    Tiba-tiba isteri merajuk
    pandai-pandailah memujuk
    buka telinga, tajamkan pendengaran,amati suaranya
    teliti dengan hati yang terseni
    rasional atau emosi ?
    andainya emosi, belailah emosi itu
    jangan cuba dihadapkan secara rasional
    kerana sidia tak akan terdaya
    mengunyah hujah,berilah walau seribu sebab
    lengkap dengan perangkaan statistik
    atau dokumen saintifik
    berserta dengan beberapa affidavit
    dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.

    Dalam situasi ini
    fikiran telah ditawan perasaan
    sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa
    jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.

    Masih gagal ?
    cuba gunakan sentuhan
    semarakkan belaian.

    Masih gagal juga ?
    Tunggu saja rajuknya reda
    emosi isteri
    bagai riak-riak air dalam cawan
    jangan digoncang...... buat selamba
    lambat laun, gelombang akan tenang
    air dicawan akan kita minum jua.

    Tapi awas.....
    kalau ternyata, rajuknya berfakta
    masamnya berdata, geramnya berilmiah
    marahnya ada prima facie
    ini rajuk taraf tinggi namanya
    perlu ditangani berhati-hati
    kalau ternyata benar,apa salahnya kita terima
    mengaku lalu berjanji serta berikrar
    " Sayang abang tak ulang lagi "
    katakan " Sayang....abang alpa "
    bisikkan " Darling.. I lupa.."
    hulurkan tangan, pinta kemaafan
    pendekatan kasanova, tapi hati suci

    Rajuk isteri seperti mangga muda
    perisanya masam
    tetapi...
    kalau kena cicahnya
    enaknya akan terasa.
    ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin.

    ( ii )

    Arghh...
    tiba-tiba isteri merungut
    malah kadangkala agak mengugut
    minta aksesori serta perabut
    minta Villa yang tersergam indah
    atau mahligai di lereng bukit
    sedangkan kita bukan Shah Jehan
    yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya
    tetapi isteri pula, persis Nur Jehan
    yang meminta petanda keagungan cintanya
    Katanya " Seabadi permata....
    segermelapan intan " ...
    sedangkan ditangan kita
    cuma cincin tembaga.

    Aduh...
    peritnya mengukur cinta
    dalam ukuran mayam atau menimbang setia
    menerusi Bursa Saham papan utama
    kasih isteri, turun naik
    mengikut kadar tukaran wang asing.

    Tiada guna menyesali diri
    diakan dulu pilihan kita ?
    semasa mekarnya
    dia dihargai, dipuja-puji
    dia kini sudah menjadi ibu
    pada anak-anak kita
    sudah takdir...
    permata yang dipilih
    perlu digilap semula.

    Namun
    putus asa jangan sekali
    terimalah dia, dengan redha.
    justeru isteri
    pada hakikatnya
    adalah bayang-bayang suami
    wanita adalah tulang rusuk yang bengkok
    luruskan dengan berhati-hati bertegas tapi jangan
    berkeras
    lembut tapi jangan reput.

    Katakan RM bukan segala-galanya
    lalu pada saat yang kudus
    setelah bersolat bersama
    bisikkanlah " Duhai isteriku...
    marilah kita bina perkahwinan ini
    dengan cinta yang sejati
    marilah kita kutip rezeki
    dengan keringat tersuci
    kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya
    padamu isteri,istanamu, di hati ini
    padamu sayang
    kalung cintamu, di jiwa ini."

    ( iii )

    Puuuh...
    Akan tiba masanya bila 'isteri' di hati tapi kurang di
    mata
    usia meningkat kecantikan tergugat
    dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus
    betis, tidak lagi bunting padi
    pipi, bukan lagi pauh dilayang
    apakah dengan itu akan berkurang cinta kita ?
    jika berkurang, nyatalah cinta kita
    selama ini cinta di mata bertapak di body
    tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah
    ertinya cinta kita di hati, berpasak di budi.
    itulah cinta sejati.

    Namun tidak salah
    di samping menyanjung budi,
    kita merampingkan 'body'
    kalau ada kesempatan
    ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat
    tapi ingat niat kerana Tuhan
    bukan kerana ingin kuruskan badan
    tapi Tuhan Maha Penyayang
    Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami
    tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan
    kecergasan
    sama-samalah merampinkan badan
    yang terlebih dikurangkan
    jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh
    apa gunanya membandingkan isteri dengan perawan.

    Bukan masanya lagi merenung dara
    tapi kini saat menghitung dosa
    lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti
    moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia
    di dunia ini dan di akhirat nanti
    itulah yang dikatakan
    hidup berdua, 'selepas' mati pun bersama.

    ( iv )

    Uhhh....
    Kekadang isteri mengamuk
    dengan ombak prasangka dan taufan cemburu

    Apa bukti setiamu suami ?
    Apakah tandanya hanya aku di hatimu ?
    kekadang disergahnya kita
    ketika keringat masih membasah
    baru menjengah pintu rumah.

    Ketika itu nilailah diri
    mungkin kita berdosa dengan Tuhan
    atau bersalah dengan insan
    mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan
    yang telah kita lakukan

    Lalu datang teguran, amaran dan peringatan
    secara 'indirect' dari Tuhan
    hadapkanlah diri ke cermin hati
    kaji diri satu persatu
    kalau liar, berhentilah
    kalau berdosa, bertaubatlah

    Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu
    nasihatkanlah baik-baik
    bukan senang nak senang
    ingatlah mustika kata dalam kitab-kitab tua
    suami yang bersabar dengan isteri yang jahat
    akan mendapat pahala Nabi Ayub
    atau ingatlah pesan Sayidina Umar al-Khattab
    ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri :

    " Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri telah banyak
    membantu kita. Dia yang menyelamatkan kita daripada
    amukan nafsu.
    Dia yang membantu menjaga makan minum kita.
    Dia yang mencuci kain baju kita
    Dia yang membantu membersihkan rumah kita...
    lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit
    kerenahnya ? "

    ( v )

    Marilah sama-sama kita tabur secubit salji pada
    segenggam api.
    Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan, kisah
    perpisahan.
    Marilah kita suburkan kembali pohon perkahwinan ini
    walaupun sudah berdekad-dekad usianya.

    Institusi ini adalah kubu terakhir kita.
    Marilah kita pertahankan bersama si dia.
    si diaku, si diamu
    cinta kita jangan mati dalam arus dunia siber,
    biar setia kita makin waja.
    Biarlah skrin-skrin internet atau inranet memaparkan
    yang indah-indah pantulan seri rumah tangga kita.

    Bicara ini diakhiri dengan satu coretan
    yang mungkin boleh diguriskan pada kad hari lahir
    isteri
    atau kad ulang tahun perkahwinan
    atau surat biru yang ingin kau utuskan padanya...

    Atau kau pahatkan saja di halaman hatimu
    pada malam nanti :

    Aku hanya seorang suami
    yang menerima setulus hati
    seorang isteri.
    Janji yang termeterai
    di akad nikah kita musim yang lalu.
    Salam kuhulur
    buat menyapa hatimu nan luhur.
    Bersamalah kita harungi
    derita yang datang.
    Bersatulah kita tempuhi
    nikmat yang bertandang.
    Denai perkahwinan
    pasti dihujani air mata.
    Biar kita rasa: rupanya syurga itu
    sangat tinggi maharnya.

    Isteri...
    tidak kutagih setia, sesetia Hawa.
    Atau kerinduan menggila Laila
    yang sangat dalam.
    Terimalah kehadiranku
    di sudut tersuci di dalam hatimu.....
    seorang isteri

    PERINGKAT ISTERI DISISI ALLAH...

    Peringkat-Peringkat Isteri Dalam Memberi Ketaatan dan Meminta Nafkah

    1. Isteri Siddiqin

    Isteri yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri). Apa yang disediakan suaminya, dia terima dengan penuh malu dan bersyukur. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi meminta tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberi pun dia tolak bahkan adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik, dia lebih suka menolong suaminya. Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin.

    Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam hendak mencari belerang merah atau gagak putih. Ini adalah perempuan luar biasa.

    2. Isteri Muqarrobin

    Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu sahaja. Yang tidak perlu dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak ada, dia tetap sabar. Namun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan keadaan itu. Itulah golongan Muqarrobin. Golongan ini juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.

    3. Isteri Solehin

    Isteri yang meminta kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah. Itulah dia golongan orang yang soleh.

    4. Isteri Fasik

    Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu, yang tidak perlu pun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberi pun tidak pernah puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewah pun tidak rasa cukup. Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut-rungut, marah-marah, sakit hati, merajuk hingga menjadi masalah dalam rumah tangga. Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka dengan suami, apatah lagi dengan Tuhan.

    Sikap, tindakannya, percakapannya selalu sahaja menyusahkan suaminya, membuat suaminya selalu serba salah dibuatnya. Berbagai-bagai kehendak diberi, berbagai-bagai kemahuannya terpaksa ditunaikan. Adakala pakaian terpaksa ditukar sebulan atau dua bulan sekali, asyik pergi shopping sahaja. Namun demikian tidak juga puas dan tidak juga merasa cukup. Macam-macam yang dia hendak. Akhirnya krisis rumahtangga tidak pernah berhenti, sentiasa bergolak, sentiasa bergelombang macam air laut yang tidak pernah berhenti-henti daripada bergelombang dan begelora. Lama-lama kelamaan bercerai juga. Kalau pun tidak bercerai kerana hendak menjaga air muka atau hendak menjaga nama baik atau tidak mahu anak porak peranda, tapi apalah ertinya rumahtangga yang begitu rupa. Dimanalah keindahannya lagi. Apalah bahagianya kalau gelombang dan gelora krisis tidak pernah rehat dan tenang. Apalah akan jadi kepada anak-anak melihat ibu bapa sentiasa macam kucing dengan anjing.

    Semoga Allah menyatukan hati-hati kita, menjadikan kita saling mencintai karena Dia; sebagaimana dalam hadits yang diriwayatkan oleh Tirmidzi Rasululllah saw bersabda:

    "Di sekitar Arsy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para nabi atau syuhada'. Para nabi dan syuhada' iri kepada mereka. Ketika ditanya para shahabat, Rasulullah menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai karena Allah, saling bersahabat karena Allah dan saling kunjung karena Allah."

    10 PERINGATAN BUMI...

    Untuk peringatan pada diri yang sering alpa dengan keindahan dunia yang hanya palsu belaka. Sedarlah bahawa bumi sentiasa berkata-kata dengan manusia namun masih ramai lagi manusia yang lalai dan leka.

    Berkata Anas Bin Malik r. a;

    Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara.

    1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

    2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

    3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

    4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

    5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

    6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku

    7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

    8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

    9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

    10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.

    HADITH NABI TENTANG KEISTIMEWAAN WANITA...

    Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

    a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

    b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."

    c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

    d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

    e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang
    (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang ia suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

    CINTA SEORANG LELAKI...

    Bila lelaki benar2 jatuh cinta dan setia pada kekasihnya dgn ikhlas, perubahan sikapnya amat mengejutkan. Hati lelaki yg dianggap keras selama ini, tiba2 secara semulajadi menjadi selembut kapas apabila sudah jatuh cinta dgn relanya. Bahkan lelaki yg mabuk cinta sanggup berkorban dan buat apa sahaja utk kekasihnya. Sekeras manapun hati lelaki ia akan mengalirkan air mata apabila hatinya dilukai. Utk melihat lelaki menangis amatlah payah. Diantara tanda2 lelaki yg jatuh cinta dgn hebat ialah:

    1. Dia bersungguh2 melakukan sesuatu utk kekasihnya dgn rela bukan krn terpaksa.
    2. Dia sentiasa ingin menghiburkan kekasihnya dan berubah menjadi orang yg kuat bercakap.
    3. Dia byk menasihati kekasihnya kerana dia amat menyayangi kekasihnya.
    4. Dia berusaha mengongkong kebebasan kekasihnya krn perasaan cemburunya yang meluap2.
    5. Dia sentiasa takut kehilangan kekasihnya.
    6. Dia sentiasa mengawasi pergerakan kekasihnya krn dia sentiasa berasa curiga.
    7. Dia tidak suka ada lelaki lain rapat dgn kekasihnya.
    8. Dia mudah merasa cemburu dan sensitif apabila kekasihnya tidak menumpukan sepenuh perhatian kepadanya.
    9. Adakalanya dia seperti seorang anak kecil yang meminta perhatian krn dia mahu kekasihnya melayannya lebih dari org lain.
    10. Dia menjadi org yg paling rajin dan sanggup membantu kekasihnya melakukan apa saja.
    11. Dia pandai merajuk hati krn ingin dipujuk oleh kekasihnya.
    12. Dia akan mengalabah apabila kekasihnya berjauhan daripanya terlalu lama.
    13. Dia sentiasa mempastikan keselamatan kekasihnya.
    14. Dia mementingkan kekasihnya daripada dirinya sendiri.
    15. Dia kerap bertanya adakah kekasihnya mencintainya krn dia merasa kasihnya lebih kuat drpd kekasihnya.
    16. Dia tidak akan melayan perempuan lain yg tidak ada urusan penting dengannya.
    17. Dia cuba meluangkan lebih byk masa dgn kekasihnya walaupun terpaksa menunggu kekasihnya dgn sabar.
    18. Dia membanggakan kekasihnya di depan org lain.
    19. Kalau ditinggalkan oleh kekasihnya, ia akan berasaserik dan tidak percaya dgn cinta perempuan lain namundia sentiasa mengharap kekasihnya kembali kepadanya.
    20. Apabila timbul org ketiga, dia akan hilang akal dan sanggup berbuat apa saja untuk merebut kembali kekasihnya.
    21. Dia menganggap kekasihnya sebagai org yg paling dipercayainya dan sanggup menyerahkan harta walaupun nyawanya sendiri.
    22. Dia tidak akan berlaku curang kepada kekasihnya namun jikalau dia berbuat demikian itu bererti hatinya belum 100 peratus mencintai kekasihnya.
    23. Bukan semua lelaki sanggup menitiskan airmata hanya untuk seorang perempuan. HARGAILAH.

    7 KALIMAH UNTUK DIAMALKAN...

    7 Kalimat untuk diamalkan

    Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak busa laut.

    1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
    2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
    3. Mengucap Astagfirullah jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.
    4. Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.
    5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.
    6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.
    7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa, karena sudah biasa.