Di petik dari karya: Hilal Asyraf
Satu hari, di dalam kelas, Dr ‘Ala Hilat, pensyarah Aqidah saya ada berbicara berkenaan keadaan ummat Islam dan yahudi. Dia bercakap perihal kemenangan dalam peperangan di akhir zaman ini. Dan di dalam kata-katanya, dia berkata:
“Doa tanpa usaha, tidak akan memberikan apa-apa faedah”
Dia menyentuh perihal ummat Islam yang sering berdoa itu dan ini, tetapi tidak bergerak ke arah apa yang didoakan mereka. Berdoa untuk kuat, tetapi melemahkan pula diri sendiri dengan maksiat dan kerendahan disiplin. Berdoa untuk menang, tetapi menewaskan pula diri sendiri dengan keingkaran dan kerosakan sosial.
Kata-katanya mengetuk minda saya.
Allah dan kasih-sayang-Nya
Allah SWT amat pengasih dan Maha Penyayang. Tiada siapa di dalam dunia ini, yang mampu menandingi Allah SWT dalam apa jua hal. Dialah pencipta kita, Maha Tahu Segala-galanya, Maha Melihat dan Maha Mendengar, Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.
Kita boleh lihat tanda kasih-sayang Allah SWT dalam ayat-ayat berikut:
“Apabila hambaku bertanya kepadamu(wahai Muhammad) berkenaan aku, sesungguhnya aku amat dekat. Aku memperkenankan permohonan yang berdoa apabila dia berdoa kepada Aku…” Surah Al-Baqarah ayat 186.
“Dan berkata Rabb kalian: Berdoalan kepada Aku, nescaya akanKu perkenankan…” Surah Al-Ghafir ayat 60.
Maka, ramai insan yang silap dalam kefahaman kasih sayang Allah SWT ini. Mereka kira, cukup sekadar berdoa sahaja tanpa berusaha. Mereka merasa sudah puas jika hanya berdoa, lalu perubahannya diserahkan bulat-bulat kepada Allah SWT.
Ini adalah kefahaman yang hakikatnya, mengkhianati kasih sayang Allah SWT kepada manusia.
Analogi sahabat saya
Sahabat saya, Ikhwan Subberi satu hari ada berkata:
“Kita ni, kalau berdoa tanpa berusaha, tidak akan berguna apa-apa. Macam kita hendak laci terbuka. Kita berdoa kepada Allah untuk dibantu kita membuka laci itu, tetapi kita tidak berusaha untuk membuka laci itu, maka laci itu tetap tidak akan terbuka. Sedangkan, Allah hendak memakbulkan doa kita. Yang kita perlu lakukan adalah, berusaha membuka laci itu”
Ya, kita minta pada Allah macam-macam. Hendak lulus ujian, hendak menang dalam pertandingan, hendak kahwin dengan orang yang baik, hendak jadi orang yang soleh, hendak bertaubat dari dosa, hendak kaya, hendak menewaskan Israel dan sebagainya. Tetapi kita tiada usaha. Maka apakah pantas Allah memakbulkannya?
Apa kata Allah?
Sebab itu, kita perlu melihat Al-Quran itu secara sepenuhnya. Allah SWT sendiri mengarahkan manusia untuk berusaha. Kita melihat dahulu dua ayat yang saya utarakan tadi.
Apakah sambungan ayat-ayat itu? Mari kita lihat:
“Apabila hambaku bertanya kepadamu(wahai Muhammad) berkenaan aku, sesungguhnya aku amat dekat. Aku memperkenankan permohonan yang berdoa apabila dia berdoa kepada Aku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu(dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.
“Dan berkata Rabb kalian: Berdoalan kepada Aku, nescaya akan Aku perkenankan. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan takabbur, daripada beribadat kepadaKu, akan masuk ke neraka jahanam dalam keadaan hina” Surah Al-Ghafir ayat 60.
Lihat? Semuanya membutuhkan amal, usaha, ketaatan.
Tidak akan termakbul doa kita, tanpa usaha. Jika hendak berjaya di dalam peperiksaan, kita perlu studi. Di samping itu kita berdoa. Hal ini kerana, kejayaan tetap di tangan Allah SWT. Namun usaha kita studi itu adalah untuk memenuhi tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT. Allah menyuruh kita berusaha, maka kita berusaha.
Hendak bertaubat dari dosa, kita perlu berusaha meninggalkan dosa-dosa kita. Namun, yang sebenarnya membantu kita meninggalkan dosa-dosa kita adalah Allah SWT. Namun usaha kita meninggalkan dosa tadi adalah untuk memenuhi tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT. Allah menyuruh kita berusaha, maka kita berusaha.
Inilah dia hakikatnya makna ayat Al-Quran yang bermaksud:
“Sekiranya kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkal lah kepada Allah” Surah Ali Imran ayat 159.
Kenapa selepas membulatkan tekad, Allah tidak sebut berusaha, baru bertawakkal?
Hal ini kerana, tawakkal itu perlu bergerak seiring usaha yang dilakukan. Usaha itu sendiri salah satu dari tawakkal kepada Allah SWT.
Sebab itulah Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu bergerak terlebih dahulu mengubah apa yang ada dalam diri mereka” Surah Ar-Ra’d ayat 11.
Jadi, soal diri kita.
Di mana usaha kita?
Penutup: Jangan Kita Khianati Allah
Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ujian di dalam kehidupan ini adalah untuk melihat keimanan kita. Malah, jika hendak dibandingkan dengan nikmat syurga yang Allah bakal beri, maka ujian di atas dunia ini kelihatan seperti masalah kecil sahaja.
Allah berikan kita pelbagai perkara dan kemudahan. Allah SWT juga mewujudkan kepada kita banyak peluang-peluang kebaikan. Maka bagaimana kita menggunakan kasih-sayang Allah SWT ini?
Ada orang berkata begini:
“Alah, apa salahnya buat dosa-dosa ni. Nanti taubatlah. Allah kan Maha Pengampun?”
Mereka ini adalah pengkhianat kepada kasih sayang Allah SWT. Sama juga mereka yang menyangka doa akan termakbul tanpa usaha.
Allah mengasihi kita, menyayangi kita, mencintai hamba-hambaNya. Tetapi siapakah antara kita yang menghampiri-Nya?
“Allah menjadikan malam itu untuk kamu berehat di dalamnya, dan siang itu terang benderang (untuk kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan nikmat-Nya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi banyak manusia tidak bersyukur” Surah Al-Ghafir ayat 61.
Tetapi banyak manusia tidak bersyukur….
Mari kita muhasabah diri kita.
Perbaiki diri kita.
Bergerak menjadi hamba yang sebenarnya.
p/s: Sumber artikel diambil dari langitilahi.com
Untuk dapatkan lebih banyak artikel menarik, boleh lawati blog tersebut..
Pengambilan artikel bertujuan perkongsian bersama.
No comments:
Post a Comment