Kasihmu Ibu Tidak Bertepi Meski Anakmu Serba Kekurangan
Catatan daripada Pn Rokiah, seorang OKU penglihatan.
Ibu, ceritamu saat kau melahirkanku, ayah tiada disisimu kerana bertugas diluar daerah. Waktu itu ayah jauh di utara. Jadi kau keseorangan menyambut kehadiranku. Saat kau menatap mataku, kau sedikit terluka kerana mataku tidak seperti abang-abang sebelum ini.
Namun cepat kau campakkan perasaan lukamu lalu hiasi bibirmu dengan senyuman bila menyedari yang aku adalah anak perempuanmu yang pertama kurnia Allah.
***“aku tahu bu, tiada ibu yang inginkan anaknya tidak sempurna. Namun Dia yang lebih mengetahui. Maafkan aku bu, kerana hadir dalam hidup kalian.”
Betapa kau menerima aku seadanya, saat itu juga kau meminta nenek menghantar telegram kepada ayah agar pulang menatap anak perempuan sulung kalian. Maklumlah katamu, waktu itu satu-satunya cara komunikasi jarak jauh hanya melalui telegram.
Setiba ayah di rumah dua hari kemudian, sambil mengangkatku, ayah berkata, “pasti anak ayah ni sekolah jauh. Sebab waktu ibu melahirkan kamu, ayah dikejauhan.”
***”terimakasih ibu ayah, kerana kalian telah menerimaku seadanya.”
Kau terus membesarkanku dan cuba sedaya upaya untuk memberiku cahaya miski dalam ruang yang terhad. Dan alhamdulillah mataku terbuka dan dapat memandang keindahan dunia biar pun pada jarak yang terhad. Kau sungguh gembira bila melihat aku dapat berlari dan lincah bermain seperti anak-anakmu yang lain. Kasih sayangmu sedikit pun tidak berkurangan. Malah kau memberi perhatian yang lebih kepadaku, kerana katamu aku kuat merajuk dan terlalu manja tika kecilku.
Ibu, bagiku kau wanita gigih dan kuat semangat dalam mengharungi perjalanan hidupmu. Tika usiaku 7 tahun, walau penuh keberatan, kau tetap tabah melepaskan aku demi masa depanku. Aku berbangga denganmu bu, kerana pada zaman itu, di saat wanita belum begitu maju, namun kau mampu memikirkan masa depan seorang anak sepertiku. Kau sanggup melepaskanku biar pun terpaksa berpisah beratus batu.
Ibu, miski kita tidak punya banyak masa bersama di zaman persekolahanku, namun kehangatan kasih sayang dan rindumu tetap kurasakan setiap kali cuti penggal persekolahan. Miski dalam waktu yang singkat,Kau bijak mengatur program demi merapatkan hubungan aku dan ahli keluarga yang lain. Katamu, kau tidak mahu langsung ada perasaan terasing dalam diriku. Setiap pulang dari asrama dan saat pemergianku ke asrama, ciuman tetap singgah dipipiku hingga ke saat ini.
***”bu, dan kini aku aplikasikan kasih sayang yang kau curahkan buatku terhadap putra dan suamiku.”
Ibu, benarlah bu, kasih dan doa ibu amat bermakna buat seorang insan yang bernama anak. Tanpa ibu dan ayah maka, tidak wujud seorang anak di dunia ini. Terima kasih yang tak terhingga buatmu ibu. Tidak mungkin terbalas setiap pengorbanan yang kau lakukan sejak aku dilahirkan hingga saat ini. Hanya kalungan doa yang mampu ku berikan buatmu ibu.
No comments:
Post a Comment