Saturday, June 12, 2010

Kehebatan Imaginasi..

PERJALANAN beribu-ribu batu bermula daripada langkahan pertama kita. Langkahan kali ke seribu tidak akan ada andai tidak dimulai dengan langkahan yang pertama, percayalah!

Jadi, apapun impian, cita dan matlamat itu, mestilah dimulai dengan satu daya tolak ke arah itu.

“Imagination is more important than knowledge.”

Ya. Saya sukakan ungkapan ini. Kenapa Albert Einstein berkata begitu? Tidak lain tidak bukan kerana dalam mencapai sesuatu impian itu, segalanya pasti dan mesti bermula dari minda. Anggota kita tidak akan mampu berbuat apa-apa selagi belum mendapat rangsangan dan arahan yang kukuh daripada otak kita.

Jika lemah rangsangan dan arahan yang diberi, maka lemah jugalah anggota kita untuk melaksanakan impian itu. Jika kuat, maka semakin kuatlah tubuh kita bekerja dan berusaha untuk merealisasikan matlamat itu.

Jadi, benarlah bahawa imaginasi itu sebenarnya mampu membawa kita menerawang jauh ke masa hadapan kita. Kadang-kadang, kita tak nampak pun lagi bila, bagaimana dan apa cara kejayaan itu bakal digapai, namun dengan kekuatan imaginasi itu sendiri kita mampu untuk pergi membawa pemikiran kita jauh ke arah impian itu.

No comments:

Post a Comment